Belina Shop

'PAS' Mengapa bersifat riak dan sombong?

NASIR SUKIMAN2 Julai 2009

MENGAPA Ketua Penerangan Pas, Idris Ahmad tiba-tiba memberi amaran usah serang peribadi Nik Aziz Nik Mat pada kempen pilihan raya kecil N 41, Manek Urai?

Pada ceramah sulungnya di kawasan pedalaman Kelantan itu, beliau mengingatkan pemimpin BN-Umno usah cuba memfitnah dan memburukkan Mursyidul Am Pas merangkap Menteri Besar Kelantan itu berikutan ura-ura membentuk kerajaan perpaduan Umno dengan Pas yang belum tercapai itu.

Kononnya Idris akan memastikan usaha Umno melemparkan pelbagai tuduhan terhadap Nik Aziz akan membawa padah dan Manek Urai menjadi ‘kubur’ bagi BN.

Sebagai ketua penerangan Pas Pusat yang baru, sama ada Idris sengaja tidak tahu atau memang sebenarnya jahil mengenai taktik dan muslihat Pas selama ini – melemparkan tuduhan palsu, menyebarkan fitnah dan kuat mengumpat calon lawan terutama pada saat-saat genting.
Malah bolehlah dikatakan fitnah dan mengumpat adalah asam garam gerak gempur Pas paling tajam dan berkesan mempengaruhi pengundi terutama wanita selama ini.

Ia menjadi seperti inti pada setiap ceramah pilihan raya kecil baik di peringkat Parlimen mahupun DUN selain pemimpin Pas mengalunkan kisah ‘lucu’ dan ulasan murahan kononnya sebagai penghibur hati pengunjung dan ahli parti dari segenap pelusuk.

Pada kempen pilihan raya kecil Bukit Gantang, P.59, April lalu Pas meneruskan kempen jahatnya apabila menabur surat layang kononnya calon Umno, Ismail Saffian, memohon maaf kepada Presiden parti Najib Tun Razak, kerana telah berkunjung ke Danok, pekan sempadan Siam untuk berhibur.

Ini dilakukan sehari menjelang pembuangan undi iaitu pada 7 April. Selain menyebarkan surat-surat itu di Taman Mewah dan tempat awam lain, Pas turut menuduh Ismail enggan bersolat Subuh berjemaah apabila diajak sedangkan pemimpin dan ahli Pas memenuhi surau dan masjid seperti di Simpang dan sebahagian, Kamunting.

Pada pagi hari membuang undi, Muslimah Pas membawa spanduk memfitnah Ismail yang pastinya tidak sempat menjawab semua tuduhan peribadi itu. Walaupun beliau amat kesal dengan tuduhan palsu itu tetapi semuanya tidak sempat ditangkisnya.

Begitu juga pada Pilihan Raya Kecil P.36 Kuala Terengganu pada 17 Januari lalu apabila calon Umno-BN, Wan Farid Wan Salleh dikutuk dan dikaitkan dengan pelbagai fitnah berbanding calon Pas Wahid Endut disifatkan sebagai ‘ustaz kampung’.

Pemimpin Pas seperti Ghani Rahman dan Mahfuz Omar tidak henti-henti mengecam dan mengaitkan pemimpin Umno dengan pelbagai fitnah yang lebih berupa kisah dikitar semula dari satu majlis ceramah ke majlis terkini.

Anehnya ramai yang hadir yang pastinya bukan pengundi dan penduduk tempatan bertepuk tangan sambil ramai lagi memenuhi gerai pasar juadah dan pasar malam Pas seperti di markas parti di Kubang Semang, Penanti dan di Air Kuning, Bukit Gantang.

Mujur ramai pengundi Melayu khususnya sudah sedar hakikat kerjasama Pas-DAP lebih banyak membawa keburukan dan merugikan mereka. Keputusan undi seperti di Bukit Gantang menunjukkan jumlah undi Melayu untuk Umno-BN bertambah tetapi kecenderungan pengundi Cina menyokong pembangkang member kelebihan kepada Nizar Jamaluddin.

Persoalannya apakah istimewanya Nik Aziz hingga tidak boleh dikecam? Beliau bukannya maksum malah kenyataannya setakat ini tidak banyak mencerminkan daya kepemimpinan Islam apabila menolak musyawarah menyatukan umat Islam yang berpecah kini.Apa gunaya debat jika ia hanya mahu digunakan bagi memburukkan Umno selain mengungkit kegagalan kerjasama Umno-Pas yang lalu?

Nik Aziz mungkin mahu kepakarannya menggunakan ayat al-Quran dan loghat Kelantannya dipuji selain mengelirukan pendengar bukan Kelantan. Mengapa bersifat riak dan sombong? - malaysiaaktif.com

0 comments:

Post a Comment