Belina Shop

PAS Tiada Sambutan Di Sarawak


KUCHING: Kekalahan Parti Islam SeMalaysia (PAS) dalam beberapa pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen negeri ini, membuktikan bahawa parti itu tidak mendapat sambutan di Sarawak.

Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, justeru kenyataan timbalan presiden PAS untuk membuat kejutan dalam pilihan raya negeri akan datang hanya bersifat gimik politik.

“Sebelum ini PAS telah meletakkan calon mereka di DUN Beting Maro dan Parlimen Batang Lupar, namun mereka tewas… ia jelas membuktikan bahawa rakyat Sarawak hanya percayakan Barisan Nasional (BN) yang mampu memacu ke arah pembangunan.

“BN turut mencatat kemenangan dalam pilihan raya DUN Batang Ai selepas mengalahkan pencabar daripada PKR dengan majoriti besar walaupun pembangkang jelas memutar belitkan fakta sebagai taktik untuk memenangi hati pengundi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan majlis penyampaian hadiah kepada pemenang dalam Pertandingan Akhir Bintang Klasik Nasional 2009 Zon Sarawak di Auditorium P Ramlee, RTM di sini, semalam.

Baru-baru ini, Timbalan Presiden PAS Nasharuddin Mat Isa menegaskan bahawa PAS akan membuat kejutan dalam pilihan raya umum Sarawak tahun depan hingga pertengahan 2011.

Mengulas cadangan pembentukan kerajaan perpaduan oleh PAS, Awang Tengah berpendapat bahawa idea yang dikemukakan oleh presiden parti berkenaan menunjukkan wujud ‘keretakan’ dalam Pakatan Rakyat (PR).

“Idea pembentukan kerajaan perpaduan menunjukkan bahawa parti pembangkang dalam PR mempunyai ideologi yang berbeza dan cadangan itu dikemukakan kerana berlakunya perpecahan atau keretakan dalam PR,” katanya.

Bagaimanapun, perkara itu terpulang kepada PAS dalam membuat keputusan kerana sebelum inipun parti berkenaan juga berada di pihak BN.

Sementara itu, Pertandingan Bintang Klasik 2009 Peringkat Zon Sarawak menyaksikan 12 peserta berentap untuk merebut tempat mewakili negeri ke peringkat kebangsaan yang berlangsung di Kuala Lumpur pada Ogos 2009.

Abdul Manaf Seron, 27, dan Nurhamimah Bohan, 23, masing-masing dinobatkan sebagai juara Bintang Klasik 2009 Zon Sarawak bagi kategori lelaki dan wanita.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Strategik RTM Datuk Norhayati Ismail, Pemangku Pengarah RTM Sarawak Monsyi Abdullah dan Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Mohd Atei Abang Medaan.
--------------------------------------------------------------------------------
Bukan semudah itu PAS boleh menawan Sarawak. Majoriti kaum di Sarawak ialah kaum Bumiputera bukan Melayu & Islam. Sudah tentu mereka memilih parti yang menjaga kepentingan kaum mereka sendiri. Bukannya parti politik yang hanya mementingkan agenda perjuangan sendiri tanpa memperdulikan apa yang rakyat mahukan. Jangan sesekali bermimpi mendapatkan Sarawak, lupakan saja.

0 comments:

Post a Comment